Senario Dadah

Sejak beberapa bulan yang lalu media tempatan telah memberi ruang yang agak luas didalam laporan tentang senario dadah di negara ini.

Kekerapan laporan tentang rampasan dadah atau tangkapan berkaitan dadah di dalam negara dan pendedahan sindiket pengedaran dadah membabitkan warga asing adalah perkara yang amat membimbangkan rakyat Malaysia.

Dari kekerapan rampasan dadah oleh pihak Polis dan Kastam, ia menunjukkan bahawa Malaysia dijadikan sebagai pusat transit dadah dan menunjukkan bahawa masalah dadah didalam negara adalah cukup mendesak untuk mewajarkan lebih banyak tindakan oleh pihak berkuasa.

Suatu perkara yang membimbangkan kita ialah seperti tiada penamat kepada isu ini jika di lihat kepada kekerapan penangkapan suspek dadah dan rampasan dadah di negara ini.

Memandangkan hakikat bahawa Malaysia berhasrat, selaras dengan wawasan Asean untuk mewujudkan sebuah kawasan bebas dadah, cita-cita untuk menjadikan negara bebas dadah menjelang tahun 2015 iaitu 2 tahun dari sekarang adalah menjadi persoalan di dalam minda kita sama ada sasaran tersebut boleh dicapai ataupun tidak.

Langkah Malaysia untuk mencapai matlamat Negara bebas dadah mesti dialu-alukan tetapi ia memerlukan komitmen, kesungguhan politik dan penyertaan secara menyeluruh dari semua sektor masyarakat untuk menangani musuh utama Negara.

Kita perlu menyedari hakikat bahawa walaupun usaha-usaha telah dibuat untuk menangani ancaman dadah di negara ini, masalahnya ia masih belum dihapuskan. Kejayaan masih jauh jika di lihat dari sudut tindakan penguatkuasaan , ia adalah jelas bahawa banyak yang masih perlu dilakukan di masa akan datang.

Jelas bahawa bukan satu pihak sahaja yang boleh membantu untuk mengatasi ancaman dadah ini. Pihak kerajaan memerlukan bukan sahaja sokongan pertubuhan bukan kerajaan, badan-badan sukarela dan pertubuhan agama malah berkehendakkan komitmen mereka di dalam membantu untuk membendung masalah tersebut.

Telah tiba masanya bagi Kerajaan untuk mengkaji semula usahanya dan menilai semula pendekatan untuk menangani masalah yang besar ini dan menanganinya secara lebih berkesan.

Ini adalah masa dan ketika untuk semua NGO, pertubuhan agama, ibu bapa dan guru- guru beserta semua rakyat Malaysia untuk bekerjasama rapat dengan satu tekad untuk memerangi ancaman dadah bukan sahaja untuk membantu mengurangkan kadar jenayah tetapi juga untuk menyelamatkan generasi muda dari azab dadah.

 

TAN SRI LEE LAM THYE

NAIB PENGERUSI

YAYASAN PENCEGAHAN JENAYAH MALAYSIA (MCPF)