Jenayah Ragut Dan Rompakan Jalanan Mesti Ditangani Di Peringkat Akar Umbi

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) — Masalah jenayah ragut dan rompakan jalanan mesti ditangani di peringkat akar umbi, kata Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye.

 

Beliau berkata puncanya telah diketahui iaitu kebanyakan peragut adalah penagih dadah yang memerlukan wang untuk menampung tabiat mereka.

 

“Jika kita mahu menyelesaikan masalah jenayah ragut di peringkat akar umbi kita perlu menyelesaikan masalah penagihan dadah dan selagi masalah itu tidak diselesaikan, banyak kes jenayah yang berkaitan dengan dadah akan terus berlaku,”katanya dalam kenyataan di sini.

 

Lee berkata lebih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk memulihkan semula keyakinan orang ramai terhadap keselamatan mereka.

 

“Lebih banyak anggota polis beruniform dan berpakaian preman diperlukan untuk membuat pengawasan bagi membanteras jenayah ragut dan rompakan jalanan, dan terdapat keperluan untuk menangani masalah ini di peringkat akar umbi,” katanya.

 

MCPF juga menggesa agensi penguatkuasaan undang-undang termasuk pihak berkuasa tempatan dan badan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama membanteras gejala jenayah ragut.

 

Beliau berkata pelbagai langkah harus dipertimbangkan untuk dilaksanakan dan ini termasuk pejalan kaki harus lebih berwaspada terhadap peragut dan mengamalkan garis panduan yang disediakan MCPF dan pihak polis tentang bagaimana mereka boleh mencegah jenayah ragut.

Jenayah Ragut Dan Rompakan Jalanan Mesti Ditangani Di Peringkat Akar Umbi