Kematian William Yau

KENYATAAN AKHBAR DIKELUARKAN OLEH NAIB PENGERUSI YAYASAN PENCEGAHAN JENAYAH MALAYSIA (MCPF) TAN SRI LEE LAM THYE

LEE LAM THYE CADANG PASUKAN PETUGAS KHAS UNTUK MENANGANI ISU KANAK-KANAK HILANG

Melindungi anak-anak dari keganasan adalah suatu komponen yang menyeluruh dalam membela hak mereka untuk hidup, membesar dan pembangunan diri.

Melindungi anak-anak dari perbuatan jenayah yang keji adalah merupakan tanggungjawab semua. Ia bukan sahaja tugas pihak berkuasa yang berkenaan dalam melindungi anak-anak tetapi masyarakat secara keseluruhannya harus turut memainkan peranan mereka.

Perlindungan ke atas kanak-kanak harus dimulakan oleh ibu bapa dan dari rumah. Ibu bapa perlu tahu di mana anak mereka berada sepanjang masa. Mereka perlu mendidik anak-anak mereka bagaimana untuk respons kepada sebarang situasi yang berbahaya.

Ibu bapa dan penjaga kepada anak-anak harus sentiasa berhati-hati dan berwaspada bagi memastikan keselamatan terbaik untuk anak-anak mereka.

Ibu bapa juga harus menasihatkan anak-anak mereka supaya berhati-hati terhadap orang yang tidak dikenali, mendidik mereka tentang keselamatan dan apa yang perlu mereka lakukan apabila sesuatu insiden berlaku.

Ibu bapa perlu sentiasa memantau di mana anak-anak mereka berada dan tidak melepaskan mereka tanpa di awasi.

Anak-anak perlu dididik untuk berasa sangsi atau was-was terhadap orang yang mereka tidak kenali pada setiap masa dan tidak mudah percaya dengan godaan mereka.

Sekolah boleh memainkan peranan yang penting di dalam hal ini. Saya mencadangkan pendidikan keselamatan kanak-kanak di perhebatkan di sekolah- sekolah rendah kerana mereka adalah mudah terdedah kepada berbagai risiko terutamanya apabila tidak dibekalkan dengan pendidikan tentang keselamatan.

Memandangkan betapa seriusnya masalah kanak-kanak yang hilang, saya ingin mencadangkan kepada Kerajaan untuk menubuhkan satu Pasukan Petugas KHAS

yang terdiri daripada Kementerian, jabatan dan agensi-agensi yang berkaitan untuk merangka strategi yang berkesan dan mampan serta pelan tindakan untuk mengelakkan lebih banyak berlaku kes kanak-kanak hilang pada masa hadapan.

Strategi dan pelan tindakan yang boleh dirangka termasuklah: –

  • Memperkukuhkan usaha untuk melindungi kanak-kanak daripada jenayah, keganasan, dan semua bentuk penyalahgunaan;
  • Melaksanakan kempen di seluruh negara secara lestari untuk perlindungan dan keselamatan kanak-kanak yang melibatkan semua lapisan masyarakat;
  • Menentukan umur kanak-kanak yang boleh ditinggalkan bersendirian;
  • Mempertimbangkan pelaksanaan peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan mengkaji apa-apa pindaan yang diperlukan demi memastikan perlindungan dan keselamatan kanak-kanak yang lebih baik.

TAN SRI LEE LAM THYE

NAIB PENGERUSI

YAYASAN PENCEGAHAN JENAYAH MALAYSIA (MCPF)

Kematian William Yau