Manifesto Barisan Nasional (BN) yang diumumkan Sabtu lalu antara lain menjanjikan usaha untuk memperluaskan kehadiran polis bagi membantu memerangi jenayah.
Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mengalu-alukan sebarang usaha meningkatkan lagi keyakinan orang ramai terhadap polis dalam menangani isu jenayah dan faktor yang mendorong kepada jenayah.
Selain ekonomi, isu ketenteraman dan keselamatan awam perlu diberi keutamaan kerana ia adalah penentu utama kestabilan negara.
Walaupun saya mengalu-alukan aku janji oleh BN untuk meningkatkan kehadiran pihak polis untuk membantu menangani jenayah di negara ini, saya ingin menyarankan cadangan tambahan 4,000 anggota polis setahun perlu ditingkatkan kepada 5,000 sejajar dengan peningkatan jumlah penduduk setiap tahun bagi mewujudkan nisbah yang lebih baik antara polis dan penduduk.
Buat masa ini, kita hanya mempunyai seramai 110,000 anggota polis berbanding 28 juta penduduk iaitu dengan nisbah satu anggota polis bagi 270 penduduk.
Sebanyak 5,000 kenderaan tambahan untuk memperkukuhkan Unit Rondaan Bermotosikal PDRM dalam tempoh lima tahun akan datang adalah amat wajar untuk meningkatkan keselamatan bukan sahaja di kawasan perumahan di bandar tetapi juga di pinggir bandar dan luar bandar.
MCPF juga menyokong penuh segala usaha membendung kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini. Masyarakat sentiasa bimbang mengenai jenayah yang membabitkan pendatang tanpa izin dan usaha mesti dibuat untuk mencegah kemasukan mereka ke Malaysia bagi memastikan kejadian yang sama di Lahad Datu tidak berulang.
Dalam hal ini, lebih banyak tenaga dan kemudahan perlu disalurkan untuk memantapkan lagi Jabatan Imigresen bagi membendung kemasukan pendatang asing secara haram.
MCPF juga menyokong cadangan tambahan 50,000 anggota Pasukan Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) bagi membantu PDRM membuat rondaan dan menjadikan komuniti lebih selamat.
Tambahan anggota PVR ini boleh menyumbang ke arah pasukan polis yang berbilang kaum di samping mendapatkan kerjasama seluruh rakyat Malaysia untuk menangani dan memerangi jenayah.
Kami juga mengalu-alukan pemasangan ciri-ciri keselamatan seperti CCTV demi memastikan jalan, tempat letak kereta, sekolah, pasar malam dan tempat lain sentiasa selamat melalui kerjasama pihak berkuasa tempatan.
MCPF juga mencadangkan agar pengambilan anggota polis tambahan harus menggabungkan langkah untuk memperbaiki program latihan polis sedia ada, terutamanya dari aspek kemahiran komunikasi bagi memastikan komunikasi dan interaksi yang lebih baik dengan orang awam.
Salah satu isu penting yang perlu diberi penekanan dalam memerangi jenayah adalah ancaman dadah. Sebahagian besar kesalahan jenayah yang berlaku di negara ini adalah berkaitan dengan dadah. Kita perlu menangani ancaman penagihan dadah dan mengkaji semula usaha yang dibuat setakat ini untuk menangani masalah penagihan dadah.
Satu cadangan yang perlu diberi perhatian adalah sektor awam dan swasta perlu menyediakan peluang-peluang pekerjaan untuk memulihkan penagih dadah supaya mereka boleh berdikari dan meneruskan hidup dengan tidak mengulangi kesalahan lampau.
TAN SRI LEE LAM THYE
NAIB PENGERUSI MCPF